IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti keterangan sebelum ini sama ada perlu memanggil Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizail Azumu atau sebaliknya berhubung siasatan dakwaan menjatuhkan Menteri Besar Perak.
Pengarahnya, Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini pihaknya sudah merakam beberapa saksi termasuk Adun-Adun yang didakwa ditawarkan itu.
Beliau berkata, sehingga kini belum ada individu baharu yang dipanggil sebagai saksi bagaimanapun pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula Adun-Adun terlibat.
"Setakat ini siasatan masih berjalan. Kita akan cuba selesaikan secepat mungkin. Kita kena lihat dulu keterangan yang ada kalau ada keperluan mungkin kita panggil (MB Perak).
"Tiada lagi individu baharu yang dipanggil. Kita akan tengok sama ada akan panggil semula saksi-saksi tersebut," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat pelepasan dan pelancaran Program Walkabout Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018, di pekarangan Bangunan Pejabat SPRM Perak, Bandar Meru Raya, di sini.
Pada Khamis lalu, Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad bersama lima Adun BN dipanggil sebagai saksi bagi memberi keterangan berhubung isu bagi menjatuhkan Ahmad Faizal.
[Artikel berkaitan: http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/guling-mb-adun-bn-dipanggil-sprm-1.912688]
Sementara itu, mengenai Program Walkabout Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018, Zainul berkata, sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat pada program tersebut melibatkan kira-kira 200 peserta.
Katanya, selain di Ipoh, beberapa daerah di negeri ini turut mengambil bahagian dalam program ini antaranya daerah Kerian dan Hilir Perak.
"Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk mendidik masyarakat tentang amalan rasuah melalui edaran risalah dan sebagainya.
"Kita harap masyarakat dapat bersama-sama SPRM menyalurkan maklumat selain mengajak mereka menghindari rasuah," katanya.