SHAH ALAM - 'Pembersihan' UMNO daripada pemimpin terpalit dengan isu penyelewengan dijangka meningkatkan sokongan rakyat kepada parti itu, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, walaupun pada peringkat awal UMNO mungkin berdepan dengan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong pemimpin terlibat, namun pada akhirnya mereka akan kembali kepada parti dan mencari ‘tuan’ baharu.