'Perang tomato' kembali diadakan

Iklan
Tahun ini pihak penganjur membekalkan 130 tan tomato yang sudah masak ranum menggunakan enam trak besar untuk dibaling oleh peserta.

VALENCIA - Selepas dibatalkan akibat pandemik Covid-19, pesta melontar tomato atau lebih dikenali sebagai ‘La Tomatina’ dalam kalangan masyarakat tempatan kembali diadakan di Sepanyol baru-baru ini.

Acara tahunan itu diadakan di pekan Bunol yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari Valencia dan ia menarik penyertaan peserta domestik serta pelancong antarabangsa.

Iklan
Iklan

Secara tradisi, acara tersebut diadakan setiap Rabu terakhir pada bulan Ogos.

Tahun ini penganjur festival membekalkan sebanyak 130 tan tomato yang sudah masak ranum menggunakan enam buah trak besar untuk dibaling oleh peserta.

Iklan

Sebahagian peserta dilihat memakai gogal untuk melindungi mata mereka daripada terkena jus tomato yang dibaling dalam acara berlangsung selama sejam itu.

Beberapa dinding bangunan juga ditutup dengan plastik khas bagi mengelak ia rosak terkena jus tomato.

Iklan

Malah, jalan raya di pekan kecil itu juga bertukar menjadi lautan merah tomato yang hancur dibaling ribuan peserta.

Asal usul ‘La Tomatina’

Tidak jelas bagaimana festival tersebut bermula kerana tiada rekod tepat yang memperincikan asal usul ‘La Tomatina’.

Festival ‘La Tomatina’ tahun ini menarik penyertaan 15,000 peserta terutama dari luar negara.

Terdapat pelbagai versi mengenai kewujudan acara berkenaan.

Pun begitu, kisah popular menceritakan sekumpulan remaja yang terlibat dalam per-gaduhan makanan selepas perayaan keagamaan musim panas pada tahun 1940-an.

Insiden pergaduhan itu dikatakan telah mencetuskan acara unik ‘La Tomatina’.

Pesta tersebut diharamkan pada 1950-an ketika era pemerintahan diktator, Jeneral Francisco Franco sehingga penduduk mengadakan upacara ‘pengebumian tomato’ untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Bagaimanapun, ‘La Tomatina’ kembali popular pada tahun 1980-an.

Sejak 2012, pekan yang mempunyai kira-kira 9,500 penduduk itu mengenakan yuran penyertaan bagi mengawal jumlah kehadiran yang semakin meningkat di pesta yang kali terakhir diadakan pada 2019.

Pada 2002, Setiausaha Pelancongan Sepanyol menamakan acara itu sebagai ‘perayaan tarikan pelancong antarabangsa’ kerana popularitinya.

Seorang pekerja majlis perbandaran membersihkan laluan pejalan kaki yang dipenuhi puri tomato selepas berakhirnya acara ‘La Tomatina’ di Bunol baru-baru ini.

‘La Tomatina’ yang digelar sebagai ‘perang makanan terbesar di dunia’ menjadi tarikan utama pelawat asing, khususnya pelancong dari Australia, Britain, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Popularitinya telah mengilhamkan festival serupa di Colombia, Costa Rica, Chile dan AS.

Tahun ini, pihak penganjur menyediakan 20,000 tiket, namun pegawai tempatan berkata hanya 15,000 tiket yang berjaya terjual kerana pelancong dari Asia tidak dapat menyertainya akibat sekatan perjalanan Covid-19 yang masih berkuatkuasa. - Agensi