MARANG - Pengalaman bertemu dan menemu bual tokoh pahlawan Melayu, Mat Kilau dan Datuk Bahaman masih segar dalam ingatan bekas Ketua Biro Utusan Melayu Pantai Timur, Endut Mat Ali walaupun usianya kini sudah mencecah 84 tahun.
Bercerita kepada Sinar Harian, Endut berkata, kali pertama dia bertemu Mat Kilau ialah di rumah pahlawan itu di Kampung Paya Besar, Batu 5, Kuantan, Pahang pada hujung 1970.
Katanya, dia bersama beberapa lagi individu bertolak dari Kuantan dan sempat tiba di rumah yang didiami Mat Kilau pada waktu pagi, memandangkan jarak perjalanan tidak begitu jauh.
"Antara perbualan yang saya masih ingat ialah saya bertanya, Ayah Mat (gelaran terhadap Mat Kilau) balik lalu ikut mana, jawab beliau balik ke situ mengikut laluan pantai.
"Pada mulanya saya agak ragu memandangkan jarak perjalanan antara satu kawasan ke kawasan yang lain begitu jauh malah kemudahan pengangkutan juga tidak moden seperti sekarang. Namun begitu, pada saya apa yang dikatakan itu tidak mustahil," katanya.
Menurut Endut, selepas pendedahan pertama identiti Mat Kilau dibuat oleh wartawan sambilan akhbar berkenaan, empat hingga lima universiti membuat kajian bagi mengesahkan bahawa lelaki itu adalah Mat Kilau yang sebenar.
"Dalam tempoh dua tahun saya bertemu dan menemu bual Mat Kilau, saya tak ingat bagaimana rupa beliau memakai baju kerana ketika itu beliau amat jarang mengenakan pakaian.
"Ketika itu, kebanyakan gambar yang dirakam menunjukkan Mat Kilau tidak memakai baju dan hanya berkain pelekat. Walaupun fizikalnya nampak kurus, namun bentuk badan seperti seorang pahlawan dan jelas kelihatan fizikalnya yang gagah," katanya.
Beliau berkata, sebelum bertemu Mat Kilau, dia terlebih dahulu bertemu Datuk Bahaman atau juga dikenali sebagai Tok Peramu.
Katanya, Tok Peramu kurang dikenali dalam sejarah kecuali selepas kemunculan Mat Kilau di Pulau Tawar pada 1969.
"Saya masih ingat, kali pertama bertemu Datuk Bahaman saya cuba merakam gambar beliau sedang menggobek (melumatkan) sireh dari jauh.
"Belum siap gambar dirakam saya tak sedar masa bila beliau datang kerana secara tiba-tiba muncung alat itu sudah berada betul-betul di atas dada saya," katanya sambil menyifatkan ia menunjukkan bukti darah pahlawan masih mengalir dalam diri lelaki itu.
Menurut Endut, bahan berita yang ditulis sebelum ini disimpan rapi namun musnah akibat dimakan anai-anai.
"Antara tulisan mengenai Mat Kilau yang saya masih ingat ialah Mat Kilau Bermandi Embun.
"Saya sebenarnya banyak menulis mengenai Tok Peramu berbanding Mat Kilau, sayangnya kebanyakan bahan berita yang ditulis sudah musnah dimakan anai-anai sejak 10 tahun lalu.
"Saya lebih banyak mendalami cerita mengenai Tok Peramu yang dianggap sebagai pembelot sedangkan perjuangan beliau dalam mempertahankan maruah bangsa dan tanah air sewajarnya dikenang dan dijadikan tauladan," ujarnya.
Bercerita mengenai kaedah penghantaran bahan berita ketika itu, Endut berkata, penghantaran bahan berita menggunakan sistem 'reverse charge' melalui panggilan telefon.
"Kita juga ada menghantar berita melalui telegram di pejabat Telekom sekitar tahun 1960an. Ketika itu, bahan berita ditaip sepatah-sepatah perkataan sehinggalah lengkap menjadi satu berita.
"Waktu itu hanya ada tiga syarikat suratkhabar iaitu Sinchew Jit Poh (Nanyang Siang Pau), Utusan Melayu (Utusan Zaman) dan New Straits Times," jelas beliau.
Katanya, bayaran gaji ketua biro yang diterima RM167 sebulan sebelum dinaikkan RM10 menjadi RM177.
"Wartawan biasa pula dibayar RM120 sebulan manakala wartawan stringer pula dapat dalam RM50 hingga RM60 bergantung kepada berita yang disiarkan. Dulu bayaran bagi berita stringer dikira dalam inci iaitu 40 sen bagi setiap satu inci," katanya.
Endut mula menyertai akhbar Utusan pada 1959 hingga 1976 sebelum bekerja dengan Kementerian Pertanian sebagai pegawai penerangan dan kemajuan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada 1976.
Ketika itu, dia berjaya menubuhkan 105 buah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara dengan seramai 115,000 keahlian dan mengambil keputusan berhenti menjadi pegawai penerangan 10 tahun kemudian iaitu pada 1986 dan menjadi pemaju perumahan.
Endut kini aktif menggerakkan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) selain membuka pusat tahfiz, kelas agama dan rumah anak yatim.