Dua beranak disyaki edar dadah

Iklan
Zaidy (tengah) menunjukkan ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Sabtu.

SUNGAI PETANI - Tiga lelaki termasuk dua beranak ditahan bersama dadah bernilai RM52,500 dalam serbuan di sebuah rumah kampung di Pinang Tunggal, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, dalam serbuan jam 4.30 petang itu, seorang pemandu van berstatus duda anak dua, berusia 33 tahun disyaki dalang dalam pengedaran dadah terbabit, ditahan bersama ayahnya, seorang pekerja kilang berusia 59 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seorang lagi pekerja kilang berusia 22 tahun yang berada di lokasi serbuan merupakan sepupu suspek pertama, turut ditahan.

Beliau berkata demikian kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Sabtu.

Iklan

Zaidy berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek utama yang merupakan pemandu van dikesan positif dadah jenis ganja, mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes narkotik, enam rekod jenayah dan satu kes dikehendaki polis mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sepupunya dikesan positif dadah jenis methamphetamine mempunyai empat rekod jenayah termasuk dua kes dikehendaki polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala ayah suspek utama dikesan negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Iklan

Jelasnya, suspek utama yang disyaki dalang itu berperanan sebagai 'stor keeper' manakala penglibatan ayah dan sepupunya masih disiasat.

Difahamkan, kesemua dadah yang dirampas disyaki untuk edaran sekitar Kedah dan Pulau Pinang, boleh digunakan kira-kira 43,770 orang penagih dadah.

Suspek utama disyak aktif sejak dua bulan lalu dalam aktiviti pengedaran dadah dan kesemua direman enam hari bermula 2 hingga 7 September 2022.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.