PERJUANGAN juara Grand Slam 23 kali, Serena Williams dalam saingan Terbuka Amerika Syarikat (US Open) 2022 berakhir, apabila pemain berusia 40 tahun itu tumpas 5-7, 7-6 (7-4), 1-6 kepada pemain kelahiran Croatia yang mewakili Australia, Ajla Tomljanovic, pada Sabtu.
Biarpun berjaya memberikan tentangan sengit dalam perlawanan itu, Serena akhirnya akur dengan kepantasan Tomljanovic dengan aksi penuh dramatik itu.
Mengulas mengenai kekalahan berkenaan Serena berkata, ia merupakan perlawanan yang agak beremosi dan sukar di sepanjang kariernya setakat ini.
Bagaimanapun, Serena mengakui dia tetap akur dengan situasi berkenaan dan gembira kerana berjaya mempamerkan aksi cemerlang sebelum tewas kali ini.
"Ia merupakan satu perjalanan yang menarik di sepanjang hidup saya setakat ini...Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi memastikan saya berada di sini hari ini.
"Terima kasih kepada semua penonton yang hadir dan maafkan saya kerana saya sangka boleh memberikan aksi lebih baik, namun telah menghampakan kamu semua.
"Namun percayalah, tangisan ini adalah tangisan kegembiraan atas sokongan kamu selama ini kepada saya,” katanya sejurus tamat aksi pusingan ketiga di gelanggang Arthur Ashe, pada Sabtu.
Sementara itu Tomljnovic berkata, kemenangan ke atas Serena merupakan satu kemenangan beremosi buatnya kerana dia sendiri turut mengagumi pemain Amerika Syarikat itu.
"Saya minta maaf kerana ‘menang’ ke atas Serena, tetapi percayalah saya juga seperti kamu semua yang sangat mengagumi Serena.
"Oleh itu, peluang beraksi dengannya kali ini nyata satu penghormatan buat saya dan ia takkan saya lupakan,” kata pemain berusia 29 tahun itu.