SHAH ALAM - Semua pihak perlu menggalas tanggungjawab untuk menjaga harta benda awam bersama-sama termasuk landskap hijau dan kemudahan awam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara seperti kerosakan harta awam melibatkan pokok hiasan yang berlaku ketika perarakan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 pada Rabu adalah normal.
Iklan
Iklan
Menurutnya, ia berikutan bilangan pengunjung luar biasa yang membanjiri Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut bagi menyaksikan perarakan tersebut.
"Cuma untuk panduan masa akan datang bila ada program beramai-ramai, kita semua ambil tanggungjawab, kita jaga. Harta kerajaan itu harta kitalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pelancaran kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG (JMKM@DE DAGANG) di Plaza Shah Alam di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan sebanyak RM700,000 kerugian direkodkan bagi pokok hiasan yang rosak ketika perarakan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 pada Rabu.
Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, ia disebabkan oleh jumlah pengunjung yang luar biasa hadir untuk menyaksikan perarakan tersebut di ibu kota.