[VIDEO] 'Tak boleh sembarangan bubar Parlimen'

Iklan
Abdul Hadi ketika sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah pada Sabtu.

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh sembarangan membubarkan Parlimen kerana kerajaan sedia ada masih ditunjangi Perikatan Nasional (PN).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, negara masih diterajui secara bersama oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan BN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majoriti barisan kabinet adalah kalangan pimpinan PN dan memerlukan perbincangan bersama.

"Kabinet bukan majoriti UMNO, majoriti adalah Perikatan Nasional termasuk parti-parti lain dari Sarawak," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini pada Sabtu.

Iklan

Abdul Hadi berkata, Perdana Menteri tidak boleh hanya bergantung kepada resolusi Perlembagaan UMNO kerana kerajaan sedia ada ditunjangi PN.

"Perdana Menteri pun susah hendak buat tarikh pilihan raya. Kita tunggulah kerana mengikut perlembagaan yang boleh menegakkannya ialah kabinet," katanya.

Iklan

Tegasnya, sekiranya kerajaan Pusat membubarkan Parlimen, negeri-negeri Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal sehingga Mac 2023.

Mengulas sama ada Pas dan BN mengadakan pertemuan bagi membincangkan tarikh pilihan raya, Abdul Hadi tegaskan, ia tidak berlaku.

"Sehingga kini tidak ada bincang (bubar), sepatutnya dipanggillah sebab kita dalam kerajaan.

"Kita dalam kerajaan memang sentiasa ada rundingan antara parti, itu biasalah. Pas sentiasa mempertahankan agenda perpaduan ummah dan berharap Perdana Menteri dapat menyokong agenda ini," katanya.