BALAI Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman menjuarai pertandingan bola sepak sembilan sebelah Piala Yang Setia Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu 2022 yang diadakan Khamis lalu.
BBP Kemaman menewaskan BBP Kuala Berang yang berpuas hati merangkul naib johan manakala BBP Kuala Terengganu dan Paka masing-masing mendapat tempat ketiga.
Iklan
Iklan
Pengerusi jawatan kuasa penganjur, Mohd Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, kejohanan itu disertai 19 pasukan dari ibu pejabat Terengganu, zon serta semua BBP seluruh negeri.
"Pertandingan ini diadakan bagi memupuk semangat budaya sukan dalam kalangan anggota bomba.
"Ia juga sebagai pemilihan pemain untuk pertandingan Piala YAS Ketua Pengarah JBPM yang akan diadakan tidak lama lagi," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, Md Hilman Abd Rashid.
Kejohanan itu turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Bahagian Latihan JBPM, Md Ali Ismail; Komandan Wilayah Timur serta pegawai kanan ibu pejabat JBPM, pegawai kanan JBPM Terengganu dan pegawai dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wilayah Timur.