ALOR SETAR - Pas masih terbuka untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan semua pihak yang ikhlas mahu mengangkat dasar perpaduan ummah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini termasuk mengadakan rundingan bersama BN bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).
Menurutnya, agenda perpaduan ummah terbabit melibatkan semua menyebabkan parti itu menerima agenda MN dan Perikatan Nasional (PN) merangkumi parti Melayu, bumiputera serta parti bukan Islam.
"Agenda kita ialah perpaduan umat keseluruhan sama ada Melayu bumiputera yang menjadi tonggak kepada negara termasuk kalangan bukan bumiputera yang menjadi warganegara," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini pada Sabtu.
Abdul Hadi berkata, pendirian UMNO yang sering mengulangi hasrat akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara solo diharap hanya ungkapan kalangan segelintir pemimpin parti itu.
Menurutnya, Pas juga masih meneruskan rundingan bersama pihak-pihak lain yang menyokong perpaduan ummah.
"Ada perundingan dengan semua, sedang berjalan. Malah dengan UMNO masih ada hubungan peringkat akar umbi dan kita masih bercampur," katanya,
Dalam pada itu, Abdul Hadi percaya kerjasama antara UMNO dan Pas tidak mustahil akan kembali bertaut kerana tiada yang mustahil dalam politik.
"Dalam politik tidak ada yang mustahil. Politik ini dinamik boleh berlaku macam macam.
"Dalam UMNO bukan presiden sahaja, ada majlis tertinggi, naib presiden malah di negeri ada bahagian. Sebab itu, kita masih berpegang kepada perjanjian asal semasa tubuhkan MN," katanya.
Mengulas mengenai agihan kerusi PRU15 antara rakan PN, Abdul Hadi berkata, perkara tersebut masih dalam rundingan.
"Tarikh pilihan raya belum diumumkan, tidak tahu bila kita tunggulah, pembahagian kerusi libatkan perundingan semua pihak," katanya.
Ditanya sama ada Pas akan menggunakan logo PN pada PRU15 akan datang, Abdul Hadi tegaskan, ia masih di peringkat percubaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lalu.
"Kita masih mendengar pandangan akar umbi. Ada yang nak kekalkan simbol lama, ada yang mahu pakai simbol baru. Perkara itu akan kita dengar di muktamar," katanya.
Pada muktamar tersebut, kepimpinan UMNO tidak kelihatan, manakala Bersatu diwakili Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai turut hadir.
Difahamkan Pas menjemput semua pimpinan tetapi tidak dijawab oleh UMNO termasuk UMNO Kedah yang tidak hadir.