SHAH ALAM - Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @ De Dagang (JMKM @ De Dagang) menyasarkan jumlah jualan kasar (GMV) melebihi RM1.5 bilion menerusi lima juta transaksi dengan memanfaatkan 100,000 perniagaan tempatan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 17 Rakan Platform Digital menyertai kempen tersebut dengan memberikan promosi dan insentif mampu milik kepada rakyat Malaysia bermula bulan ini sehingga Disember 2022.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan sebagai usaha nasional membantu kurangkan beban perbelanjaan rakyat selari dengan aspirasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi menurunkan kadar inflasi serta harga makanan.
Annuar berkata, usaha tersebut dapat dilihat menerusi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia dan disokong penuh oleh Kementerian Kewangan (MOF).
"Kempen ini adalah kesinambungan daripada program sebelum ini seperti Jualan Murah Keluarga Malaysia, Jualan Murah Rangkaian Koperasi dan Jualan Murah @ Kampus yang dilancarkan Ogos lalu.
"Inisiatif yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Rakan Platform Digital membolehkan rakyat berbelanja pada harga yang berpatutan dan tidak membebankan mereka terutamanya barangan harian.
"Produk-produk tersebut boleh didapati dengan potongan diskaun sehingga 20 peratus atau maksima RM100 untuk setiap transaksi," katanya ketika ditemui di Plaza Shah Alam pada Sabtu.
Dalam pada itu, Annuar berkata, program tersebut akan membantu usahawan yang mempunyai produk buatan Malaysia yang berpotensi untuk dieksport serta produk pelancongan dan kraf untuk memanfaatkan platform digital.
Ujarnya, JMKM@De Dagang bersama Rakan Platform Digitalnya juga akan menyalurkan manfaat dan sokongan kewangan bernilai RM300 juta kepada perniagaan tempatan melalui pelbagai platform e-Dagang dan e-Bayar untuk menambah baik keupayaan penjualan serta pendapatan mereka.
Annuar berkata, pihaknya perlu melihat keberkesanan kempen itu dalam tempoh empat bulan ini sebagai langkah permulaan.
"Kita buat dulu (kempen JMKM@De Dagang), jika sambutannya bagus dan bermanfaat. Insya-ALLAH akan ada pengumuman dalam sidang belanjawan akan datang untuk tahun hadapan," katanya