Kerajaan setuju beri terus PerantiSiswa berjenama Samsung

Iklan
Kerajaan setuju beri terus peranti kepada penerima inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, tidak perlu dipulangkan. - Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] PerantiSiswa berjenama Samsung untuk semua mahasiswa dalam kalangan B40 diberikan secara terus tanpa perlu dipulangkan semula kepada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif PerantiSiswa sebelum ini diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) yang mana mahasiswa perlu menyerahkan semula peranti setelah tamat pengajian.

Iklan
Iklan

"Namun atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang.

"Justeru, pada hari ini sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi terus peranti berupa sebuah tablet berjenama terkenal kepada semua penerima,” katanya sempena Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pada Sabtu.

Iklan

Tambah Ismail Sabri, pemberian peranti adalah sebagai penghargaan kepada mahasiswa.

"Diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima PerantiSiswa untuk belajar bersungguh-sunguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang,” kata beliau.

Iklan

Perdana Menteri turut menyatakan, bahawa kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia bagi memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran dalam talian dari rumah tanpa kekangan data.

"Pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 pada asalnya dijadualkan tamat pada bulan Oktober tahun ini.

"Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga akan memperluaskan penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus-kampus pengajian tinggi untuk memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.

"Penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia di kampus dapat mengurangkan beban mahasiswa terhadap tekanan harga barangan yang tinggi.

"Diharapkan dengan inisiatif-inisiatif daripada pihak kerajaan ini, kita sebagai Keluarga Malaysia akan terus teguh bersama serta mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.