Segera siasat isu kapal OPV Maritim Malaysia

Iklan
Gerakan Belia 4B Malaysia meminta siasatan segera dilakukan secara menyeluruh tanpa campur tangan pihak tertentu terhadap projek pembinaan tiga kapal peronda persisir pantai (OPV) yang masih belum diterima sehingga kini. Gambar kecil: Fahami Ashrof

SHAH ALAM - Gerakan Belia 4B Malaysia meminta siasatan segera dilakukan secara menyeluruh tanpa campur tangan pihak tertentu terhadap projek pembinaan tiga kapal peronda persisir pantai (OPV) yang masih belum diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sehingga kini.

Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, pihak terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan bagi memastikan perkara ini tidak lagi berulang seperti kes kapal tempur pesisir (LCS) yang dibongkarkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Justeru, tegas beliau, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu memulakan siasatan terhadap projek pembinaan kapal OPV tersebut.

"Jadi ini membolehkan rakyat mengetahui maklumat tepat dan sebenar mengenai perkara itu menerusi hasil siasatan yang dijalankan.

Iklan

"Ini bagi memastikan tiada pihak yang bersalah tanpa mengira pangkat dan mana-mana parti politik terlibat terlepas daripada pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada Jumaat menggesa PAC Memulakan siasatan terhadap projek pembinaan tiga kapal OPV yang masih belum diterima Maritim Malaysia sehingga kini.

Iklan

Menurut beliau, wujud beberapa perkara meragukan berhubung pemberian kontrak untuk membina kapal tersebut kepada TH Heavy Engineering Berhad (TH Heavy) yang tidak mempunyai kepakaran membina kapal.

Fahami Ashrof menambah perkara ini sewajarnya dipandang serius kerana ia melibatkan kerugian selain wang rakyat telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita harap siasatan secara telus dijalankan bagi memastikan tiada lagi unsur penyelewengan dan salah guna kuasa dalam projek itu,” ujarnya.