'Heret Rajapaksa ke muka pengadilan'

Iklan
Kediaman rasmi baharu yang disediakan untuk Rajapaksa (gambar kecil) selepas beliau kembali ke tanah air pada Sabtu. - Foto: AFP

COLOMBO - Kepulangan bekas Presiden Sri Lanka digulingkan, Gotabaya Rajapaksa sememangnya tidak dialu-alukan sebahagian besar rakyat negara itu.

Kini, banyak pihak menggesa penahanan Rajapaksa selepas beliau tanpa rasa malu kembali ke tanah air pada Sabtu setelah hidup dalam buangan selama kira-kira tujuh minggu.

Iklan
Iklan

Kejatuhan Dinasti Rajapaksa akhirnya memberi tamparan hebat kepada bekas pemimpin itu setelah kediaman rasminya diserbu ribuan penunjuk perasaan pada Julai lalu yang menjadi kemuncak protes antikerajaan selama beberapa bulan sebagai membantah krisis ekonomi yang semakin meruncing di negara tersebut.

Rajapaksa, 73, kemudiannya melarikan diri ke Singapura di mana beliau mengumumkan peletakan jawatannya dan Bangkok menjadi destinasi 'perlindungan' kedua sebelum beliau akhirnya pulang ke Colombo pada lewat Jumaat.

Iklan

"Rajapaksa yang kini sudah kehilangan imuniti perlu diheret ke muka pengadilan! Beliau terpaksa kembali ke Sri Lanka kerana tiada negara sudi menerima kehadirannya. Beliau tidak tempat lagi untuk bersembunyi.

"Rajapaksa wajar ditahan dengan segera kerana menyebabkan kesengsaraan kepada 22 juta penduduk negara ini," ujar pemimpin Kesatuan Guru, Joseph Stalin yang turut bertanggungjawab menggerakan protes tersebut sehingga mencapai matlamat utamanya.

Iklan

Sebelum ini, pentadbiran Rajapaksa didakwa terlibat salah urus hingga mengakibatkan negara Asia Selatan tersebut berdepan kemerosotan ekonomi yang teruk.

Krisis itu mencetuskan masalah kekurangan bekalan makanan dan bahan api berikutan Colombo kehabisan mata wang asing untuk membayar import penting.

Bekas menteri daripada pakatan pembangkang utama, Samagi Jana Balawegaya (SJB), Ajith Perera berpendapat Gotabaya perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan jenayah dilakukannya sebelum dan semasa memegang jawatan Presiden.

Disambut kalungan bunga

Sejurus tiba di lapangan terbang di Colombo, Rajapaksa disambut dengan kalungan bunga oleh menteri dan ahli politik kanan yang jelas menunjukkan pengaruh beliau masih kuat.

Bekas pemimpin itu turut diiringi dengan konvoi ke kediaman rasmi baharu di ibu kota yang disediakan oleh penggantinya, Ranil Wickremesinghe.

"Kepulangannya membuktikan Parti Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) masih berkuasa walaupun berdepan kecaman banyak pihak," kata pensyarah kanan untuk hubungan antarabangsa di University of Colombo, Hasith Kandaudahewa.

Menurutnya, ia juga juga berpotensi melemahkan pentadbiran penggantinya yang cuba untuk meraih semula sokongan rakyat.

Difahamkan, Rajapaksa turut menerima kunjungan beberapa tetamu termasuk abang sulungnya, Mahinda yang turut meletak jawatan setelah berdepan desakan orang ramai setelah insiden serangan ganas ke atas penunjuk perasaan.

Ketika ini, kumpulan aktivis hak asasi manusia telah berikrar untuk memfailkan beberapa pertuduhan terhadap Gotabaya termasuk atas peranannya dalam insiden pembunuhan ke atas editor akhbar terkenal, Lasantha Wickrematunge.

"Kami terima kepulangannya supaya beliau boleh dihadapkan ke mahkamah," tegas jurucakap Persatuan Wartawan Muda Sri Lanka, Tharindu Jayawardhana.

Rajapaksa memenangi pilihan raya pada 2019 selepas beliau menjanjikan kemakmuran dan kemegahan untuk negara itu, namun popularitinya semakin merudum selepas negara itu berdepan krisis yang semakin meruncing.

Pentadbirannya didakwa memburukkan lagi situasi tersebut apabila memperkenalkan pemotongan cukai tidak mampan hingga mendorong hutang kerajaan yang memburukkan lagi masalah ekonomi di Sri Lanka.

Selepas rundingan selama beberapa bulan, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) akhirnya bersetuju dengan pakej bantuan bersyarat yang berjumlah AS$2.9 bilion (RM12.97 bilion) untuk memulihkan ekonomi negara itu.

Wickremesinghe yang dilantik Parlimen untuk menghabiskan baki penggal pemerintahan Rajapaksa dijangka menjadi 'boneka' kepada bekas pemimpin itu memandangkan beliau terus menyasarkan penunjuk perasaan dan menahan aktivis yang terlibat protes antikerajaan sejak beberapa minggu lalu. - AFP