PADA sesuatu zaman, lazimnya perkembangan sastera didominasi oleh sesebuah genre dan genre lain sebagai sampingan.
Seandainya puisi menjadi genre utama, maka genre lainnya seperti novel dan drama menjadi sampingan. Hal yang sama juga berlaku pada aliran sastera, hanya sebuah aliran sahaja yang dominan pada sesuatu zaman itu.
Teori genre sastera menjelaskan, situasi ini menunjukkan bahawa cuaca kepengarangan, dipengaruhi oleh iklim sosial dan budaya yang membentuk kelaziman atau takdir sastera itu.
Gejolak politik, goncangan ekonomi dan sistem pendidikan turut mempengaruhinya. Dunia pemikiran dan falsafah turut memberi kesan kepada pergolakan budaya yang menjadi katalis kepada jiwa kepengarangan sesuatu bangsa itu.
Teori genre sastera yang paling kontemporari tertubuh sekitar 2013 menegaskan, pengetahuan situasi genre sastera dunia, akan dapat mendewasakan sesebuah sastera tradisi.
Sastera Melayu sebahagian daripada sastera dunia itu akan dapat belajar dan menjadi hipogram kepada perkembangannya.
Teori genre sastera menjelaskan, zaman Greek didominasi oleh genre drama. Sejak 500 Sebelum Masehi (BC)lagi mereka menganjurkan pertandingan drama.
Antara pemenangnya ialah Aeschylus (525-456 BC) dramatis tragedi, Aristophanes (448–380 BC) penulis komedi, Sophocles (496-406 BC) dan Euripides (480-406 BC) menghasilkan tragikomedi. Drama ialah suara dan lambang ketinggian peradaban Greek.
Kekuatannya disambung oleh zaman Roman lebih mementingkan aspek spektakuler sehingga membina pentas-pentas yang indah. Beberapa buah drama karya Plautus, Terence dan Seneca menyuguhkan kehidupan realiti orang Roman yang romantik, tetapi suka berperang.
Zaman Kegelapan Eropah selepas itu meneruskan genre drama, namun dikuasai oleh gereja dan etika agama. Dengan nama moraliti drama, tokoh-tokohnya mencitrakan pembangunan ajaran agama.
Hanya setelah muncul zaman Renaissans drama semakin kukuh di tangan Shakspeare, Lope de Vega Moliere, Corneille, Racine dan Cervantes. Terkenal sebagai zaman Elizabethan, drama mendapat penajaan kerajaan yang membina panggung-panggung persembahan berbentuk proscenium.
Namun, genre cerpen yang muncul pada zaman Renaissans lebih pantas popular.
Tumpuan
Terbiasa dengan karya yang panjang seperti drama, ia menjadi sangat selesa dan boleh mengisi masa bila-bila sahaja dengan membaca cerpen.
Cerpenis Renassains yang terkenal ialah Anon Cabola, Giovanni Boccaccio, Jacques Vver dan Henry Estienne. Zaman romantisisme selanjutnya memberi tempat istimewa kepada puisi.
Nama Coleridge, Stendhal, Goethe, Montesqueudan Byron tersohor dengan keindahan pencitraan alam dan pertembungan budaya. Genre soneta menjadi tumpuan, diikuti dengan puisi lirik meminjam dan memodifikasikan puisi Greek.
Para penyair itu menyatakan kebencian terhadap ketidakadilan sosial dan cengkaman kaum borjuis. Karya puisi disanjung dan para penyair dihormati.
Anak-anak muda berebut-rebut menulis puisi, lalu membacanya pada pesta-pesta dan majlis-majlis karnival.
Novel mula ditulis pada zaman romantisisme itu. Rusia berjaya melahirkan novelis handalan seperti Tolstoy, Pushkin dan Gogol.
Pengembaraan, percintaan, kesetiaan, peperangan dan kehormatan menjadi subjek utama novel waktu itu.
Genre novel terus berkembang pada zaman realisme. Realisme bererti kenyataan.
Pengarang memparodi kehidupan seharian. Balzac, Zola, Maupassant, Dickens dan Doestovsky adalah realis yang sering dirujuk karyanya untuk melihat dokumentasi sosial, protes sosial dan unsur-unsur revolusi.
Zaman ini genre novel dan cerpen menjadi dominan. Realisme juga menandakan terbukanya pintu zaman moden yang memberi ruang sebesar-besarnya untuk pengarang melakukan pembaharuan.
Tidak cukup sastera sebagai cermin, mimesis, fotokopi dan fotogenik, juga menuntut penglibatan, komitmen dan komited dengan masyarakatnya.
Ibsen dan Brecht menjadi buruan dan beberapa kali dipenjarakan, kedua-duanya terus berkarya menentang kezaliman.
Desingan angin avant-garde, yang kemudianya menjadi ribut terjadi pada zaman ini. Golongan ini mencari pelbagai dimensi dan teknik baharu dalam berkarya.
Antara penulisnya ialah Vicente Huidobro, Nicolás Guillén, César Vallejo, Jorge Luis Borges, Octavio Paz, Juan Carlos Onetti, Mario Benedetti, Pablo Neruda dan Oliverio Girondo.
Namun yang paling tersohor ialah Alain Robbe-Grillet yang meninggalkan aspek perasaan dalam novel dan cerpennya; lalu membawa revolusi penceritaan yang mendasar, mendatar dan kering, tetapi menarik yang kemudiannya disukai oleh Iwan Simatupang dalam novel-novelnya Kering dan Ziarah.
Zaman awal moden dalam sastera Melayu, pengarang menggunakan prosa seperti novel, cerpen dan drama. Ishak Haji Muhammad dengan novel, Keris Mas dengan cerpen dan Shaharom Husain dengan drama menjadi juara zamannya.
Sajak banyak dihasilkan tetapi hanya menjadi genre sastera yang bermakna di tangan Tongkat Warrant.
Zaman moden Malaysia menyaksikan semua genre sastera memiliki takhtanya. Namun, tokoh-tokoh novelis seperti Shahnon Ahmad, A.Samad Said, Arena Wati dan S.Othman Kelantan menjadi pengarang pujaan. Ramai penulis puisi, ramai pula yang kuat dan berisi.
Pementasan
Lautannya berkocak dengan kehadiran Muhammad Haji Salleh membawa sajak-sajak intelektual meninggalkan curahan rasa bernada pilu. Gaya Muhammad Haji Salleh terdengar pada puisi Rahman Shaari dan T.Alias Taib. Kemala bijak membawa puisi-puisi kerohaniannya.
A. Ghafar Ibrahim melarikan puisi kepada Tri-V dan sajak-sajak konkritnya. Zurinah Hassan dengan suara lembutnya beralih kepada sejarah yang hidup dalam diksi dan stanza metahistoriografiknya.
Genre puisi tanah air menjadi meriah, diangkat pada majlis-majlis terhormat, serta mengisi pesta dan majlis perayaan.
Genre drama pula hanya mengalami kocakannya apabila Kala Dewata mencitrakan realiti yang dialami masyarakat Melayu pascamerdeka.
Hampir 500 pementasan pada zaman itu yang menggegarkan khalayaknya seluruh negara. Kehadiran Noordin Hassan dengan teater fitrah absurdnya, turut memberi wahana pendramaan baharu tanah air.
Itu adalah permulaan zaman pascamoden. Di Barat dimulai dengan drama Waiting for Godot Samuel Becket dan novel Outsider Albert Camus.
Teori genre sastera menjelaskan, zaman pascamoden adalah zaman untuk prosa, khasnya cerpen dan novel. Pemenang noble dunia juga ramai terdiri daripada novelis.
Huraian daripada teori genre sastera di atas menjelaskan perjalanan genre-genre sastera pada zaman-zamannya.
Sekurang-kurangnya, ada manfaatnya kepada pengarang kita, terutama pengarang muda sebagai panduan dalam menjalani hayat sastera selanjutnya.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia