PEMAIN sensasi, Robert Lewandowski terus 'garang' di depan gol apabila sekali lagi meledak ketika Barcelona menewaskan Sevilla 3-0 saingan La Liga awal pagi Ahad.
Pada aksi itu, Raphinha terlebih dahulu meletakkan Barcelona di depan dengan menanduk masuk bola minit ke-21 selepas cubaan Lewandowski gagal menghasilkan gol.
Bagaimanapun bintang Poland itu tidak perlu menunggu lama untuk mencetak gol sendiri.
Lewandowski mengawal dengan baik hantaran Jules Kounde sebelum merembat deras menewaskan penjaga gol lawan, Bono.
Ia merupakan gol kelimanya sepanjang empat penampilan dalam kancah La Liga.
Eric Garcia menjaringkan gol ketiga Barcelona lima minit selepas separuh masa kedua.
"Kami sedang melalui tempoh yang baik. Menang 3-0 di Sevilla adalah petanda yang baik," kata jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez kepada Movistar.
Barcelona ketinggalan dua mata di belakang Real Madrid, manakala Sevilla hanya memungut satu mata setakat ini.
"Situasi yang kami hadapi agak sukar. Kami meminta maaf berikutan keputusan ini," ujar pemain tengah Sevilla, Ivan Rakitic.