SEREMBAN - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM430,500 daripada seorang lelaki tanpa lesen berhubung pelaburan pada Jun 2016 hingga Ogos 2016.
Roslina Abu Bakar, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim G Ramesh.
Iklan
Iklan
Wanita itu didakwa menerima deposit daripada seorang lelaki, Azizan Abd Rashid, sebanyak RM430,500, sebagai suatu pelaburan sedangkan dia tidak mempunyai lesen di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 26 Jun 2016 hingga 26 Ogos 2016 antara pukul 5.14 petang hingga 8.54 malam, bertempat di mesin Deposit Tunai CIMB Rembau, mengikut Seksyen 137 (1) Akta sama yang boleh dihukum menurut Seksyen 137 (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohamad Azrie meminta mahkamah memberi jaminan sebanyak RM100,000 manakala tertuduh yang diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie memohon jaminan paling rendah memandangkan tertuduh menghidap sakit jantung dan ‘slip disc’.
Hakim Ramesh kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 3 Mei ini. - Bernama
Artikel Berkaitan