Pengarah syarikat warga Bangladesh didakwa kemuka invois palsu

Iklan

PETALING JAYA - Seorang pengarah syarikat pembersihan warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 13 pertuduhan mengemukakan invois palsu bagi pembayaran gaji pekerja berjumlah lebih RM200,000.

Ariful, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-13, lelaki itu didakwa dengan curangnya telah mengemukakan invois berjumlah RM202,081.66 kepada Syarikat Benafax Sdn Bhd bagi tujuan pembayaran gaji pekerja di dua buah hotel yang mana dia mengetahui bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank UOB, Jalan Othman, di sini, antara Julai 2018 hingga Oktober 2018 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Esther Tan memohon jumlah jaminan rendah bagi kesemua pertuduhan atas alasan anak guamnya telah tinggal di Malaysia selama 10 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Fariha Najwa Wan Azaham membantah jaminan tersebut mengambil kira faktor tertuduh merupakan warga asing dan tidak mempunyai alamat tetap di Malaysia.

Iklan

"Saya mohon sekiranya jaminan dibenarkan, syarat tambahan yang ketat harus dikenakan agar tertuduh tidak melarikan diri," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia beserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan seminggu sekali dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes. - Bernama