RM307 bilion disalurkan kepada usahawan PKS

Iklan
Patform pembiayaan atas talian imSME antara usaha membangunkan satu ekosistem pembiayaan PKS yang holistik.

KUALA NERUS - Lebih 123,000 permohonan pembiayaan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) disalurkan institusi kewangan di Malaysia dengan pembiayaan dikeluarkan sebanyak RM307 bilion sepanjang tahun lalu.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, pembiayaan adalah penting untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan PKS di seluruh negara.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan adanya akses kepada pembiayaan mencukupi, PKS boleh merebut peluang berkembang seterusnya meningkatkan sumbangan kepada ekonomi serta mewujudkan kehidupan lebih baik untuk komuniti.

Sehubungan itu, BNM akan terus meningkatkan kerjasama erat dengan industri kewangan untuk memastikan usahawan yang memerlukan dan layak berupaya mendapat pembiayaan.

Iklan

Beliau berkata, PKS adalah salah satu segmen pelanggan yang penting kepada institusi kewangan, merangkumi 87 peratus daripada jumlah akaun pembiayaan perniagaan.

"Sepanjang tahun lalu, lebih 123,000 permohonan pembiayaan PKS telah diluluskan, dengan secara puratanya tiga daripada empat permohonan pembiayaan diluluskan.

Iklan

"Sebanyak RM307 bilion pembiayaan juga telah dikeluarkan kepada PKS sepanjang tahun 2018," katanya kepada media di Karnival Kewangan di TH Hotel & Convention Centre di sini, hari ini.

Pertumbuhan dan akses kepada pembiayaan berterusan itu disokong ekosistem pembiayaan komprehensif, termasuklah perkhidmatan kewangan Islam untuk menyokong PKS sepanjang kitaran hayat perniagaan.

Sehubungan itu, BNM telah berusaha membangunkan satu ekosistem pembiayaan PKS yang holistik, disokong oleh pelbagai produk pembiayaan Islam.

"Antara inisiatif utama termasuk Skim Pembiayaan Mikro, jaminan kredit, platform pembiayaan atas talian imSME, Tabung BNM untuk PKS, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Kaunter PKS.

"Pendidikan kewangan dan ilmu pengurusan kewangan juga adalah penting bagi PKS membuat keputusan kewangan yang bijak dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, BNM juga amat berbesar hati kerana dapat berkunjung ke Terengganu bersempena dengan penganjuran Karnival Kewangan ini.

"Sepanjang dua hari yang lepas, BNM telah menganjurkan seminar dan sesi klinik kewangan yang disertai oleh hampir 200 PKS.

"Kami juga telah mengadakan pertemuan dengan para pemimpin daripada 11 dewan perniagaan dan persatuan usahawan," katanya.