KETERUJAAN selebriti serba boleh, Alif Satar bermain 'snowboarding' minggu lalu bertukar episod duka buatnya.
Menurut lelaki berusia 29 tahun ini, tulang bahunya telah 'lari' atau terkehel dan ligamen koyak.
Bagaimanapun setakat ini, keadaannya sudah semakin pulih selepas menjalani rawatan fisioterapi, namun dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti melibatkan pergerakan bahu seperti berenang.
"Jadi inilah sebab tangan kanan berbalut. Tulang bahu terkehel dan ligamen koyak. Jatuh ketika bermain papan salji minggu lalu.
"Tapi alhamdulillah, saya semakin pulih selepas menjalani sesi fisioterapi. Jadi tiada latihan berenang atau sebarang pergerakan bahu untuk tempoh dua minggu," jelas Alif mengenai punca dia memakai 'arm sling' semalam.
Tambah pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar ini walaupun berdepan dengan kesakitan ketika sesi memasukkan semula tulang bahunya, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk menyertai sesi perlumbaan basikal tidak lama lagi.
"Walaupun kesakitan dan perit dia Tuhan sahaja yang tahu, tapi saya akan tetap teruskan perlumbaan basikal untuk CIMB Cycle 2019," katanya.