Polis Johor rampas minuman keras tiruan

Iklan
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (tiga, kiri) menunjukkan pelbagai minuman keras yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor di Taman Gembira, pada Khamis lalu.

JOHOR BAHRU - Sebuah stor di Taman Gembira diserbu pada Khamis berhubung kegiatan sindiket pengedaran dan penjualan minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai dan tiruan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi pada jam 7 malam yang dilakukan sepasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor itu, sebanyak 6,168 tin dan 951 botol minuman keras dengan nilai keseluruhan RM305,252 dirampas.

Iklan
Iklan

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis turut ditahan dalam serbuan itu.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaut untung dengan menjual arak tiruan dan tidak bercukai sejak tiga bulan lalu.

Iklan

"Arak tiruan dalam botol itu dipercayai diproses dan diperoleh dari tempat lain dan dijual dengan harga pasaran sekitar RM150 hingga RM170. Arak itu menggunakan kod QR Jabatan Kastam palsu yang tidak boleh diimbas menggunakan aplikasi Sistem Cukai Kastam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Iklan

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, lelaki terbabit juga mengaut untung dengan menjual arak dibeli di zon bebas cukai dan menjualnya mengikut harga pasaran.

Katanya, arak tidak bercukai itu dijual sekitar RM7.50 hingga RM8 setin berbanding RM3.50 setin di kawasan zon bebas cukai.

Tambah Kamarul Zaman, polis sedang menyiasat dari mana suspek memperoleh bekalan samsu haram itu serta mengesan ahli sindiket berkenaan.

Katanya, suspek direman 10 hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Mempengaruhi Undang-undang 1976 (penghapusan samsu gelap).