Agamawan jangan malu mengaku 'tidak tahu'

Iklan
Sheikh Salah Muhammad Al-Budair. - Foto assabile.com

MADINAH – Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Sheikh Salah Muhammad Al-Budair mengingatkan para agamawan dan ilmuwan agar tidak malu mengaku ‘tidak tahu’ sekiranya mereka benar-benar tidak jelas mengenai sesuatu hukum agama ketika menyampaikan ilmu kepada masyarakat awam.

Beliau berkata, agamawan perlu meneladani keilmuan ulama mazhab tersohor Imam Malik yang tidak berasa janggal untuk mengaku tidak tahu apabila ditanya persoalan fatwa dan hukum.

Iklan
Iklan

"Ulama terdahulu yang menghafal ratusan hadis nabi sentiasa amanah dalam menyampaikan ilmu dan tidak akan berfatwa berkaitan perkara yang tidak jelas.

"Kita tidak boleh mencontohi sebahagian ilmuwan zaman ini yang mana mereka muncul di kaca televisyen dan terus bercakap tentang hukum agama tanpa pengetahuan kukuh,” katanya ketika berucap dalam sesi ramah mesra bersama peserta program tetamu Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, yang terpilih menunaikan ibadah umrah, di sini, malam semalam.

Iklan

Sheikh Salah turut berpesan kepada para peserta supaya tidak berfatwa tanpa ilmu kukuh dan sentiasa mempersiapkan diri dengan pengetahuan yang mantap.

Program 10 hari yang bermula pada 3 April itu disertai sejumlah 225 jemaah dari 27 negara termasuk Indonesia, Filipina, India, Bangladesh, China, Pakistan, Thailand, Bosnia dan Herzegovina, Kosovo, Croatia, Slovenia, Macedonia, Serbia, Albania, Montenegro, Korea Selatan, Hong Kong, Mauritania, Algeria, Mesir, Tunisia, Maghribi, Sudan, Maldives, Jordan dan Lubnan.

Iklan

Turut serta 11 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, antaranya agamawan, ahli akademik, pendakwah serta wakil kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Semua tetamu ditaja sepenuhnya melalui peruntukan peribadi Raja Salman yang membabitkan kos penginapan, tiket kapal terbang, makan minum serta program ziarah ke tempat bersejarah di Mekah dan Madinah. - Bernama