Rahadiazli dalam keadaan stabil

Iklan
Rahadiazli kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital.

PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim yang dikejarkan ke hospital ketika menentang Melaka United FC (MUFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam Sabtu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menerusi perkongsian Pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab berkata, pemain berusia 21 tahun itu sudah sedarkan diri selepas insiden tersebut.

Iklan
Iklan

”Alhamdulillah, Abey (Rahadiazli) mulai sedar. Semoga cepat sembuh. Tahniah kepada pemain-pemain, tahniah kemenangan malam tadi,” tulisnya dalam hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Sementara itu, Penolong pengurus skuad Sang Penyu, Zulfadli Rozi dalam satu ciapan di akaun Twitternya, turut berkongsi keadaan Rahadiazli sambil memberitahu pemain itu telah menjalani imbasan dan rawatan awal.

Iklan

Menurutnya, penjaga gawang berpotensi itu sudah boleh berkomunikasi dengan jelas walaupun masih lemah.

"Perkara pertama yang dia (Rahadiazli) tanya, adakah kita menang perlawanan tadi? Saya jawab semua pemain beraksi demi kamu dan ya, kita menang.

Iklan

"Begitu pun, doktor masih memantau keadaannya,” ciapnya di Twitter.

Sebelum ini, Rahadiazli dilaporkan cedera selepas bertembung dengan pemain gantian skuad Hang Tuah, Harith Naem Jaineh pada minit ke-46 sewaktu dia cuba menyelamatkan bola di dalam kotak penalti.

Susulan insiden tersebut, perlawanan tersebut terpaksa dihentikan hampir enam minit selepas anggota perubatan kedua-dua pasukan cuba memberi bantuan awal sebelum penjaga gol itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di sini.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialami Rahadiazli itu langsung tidak mematahkan semangat pemain skuad Penyu untuk berpesta gol selepas melakar kemenangan 5-0 dengan penyerang sensasi, Kipre Tchetche meledak hatrik, manakala dua gol lagi dihasilkan penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.