PUTRAJAYA- Kerajaan akan membuka siasatan baru susulan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang membuat kesimpulan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat, masing-masing pada tahun 2016 dan 2017, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun menurutnya bagi melaksanakan siasatan itu, kerajaan akan menunggu sehingga pelantikan Ketua Polis Negara yang baru dimuktamadkan, memandangkan kesimpulan itu membuat tuduhan terhadap Ketua Polis semasa Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Iklan
Iklan
"Kita akan tunggu sehingga pertukaran Ketua Polis Negara, dan seterusnya akan menubuhkan satu pasukan khas untuk mengkaji sekiranya bukti ‘dengar cakap’ yang digunakan oleh Suhakam untuk membuat kesimpulan itu benar-benar berasas,” katanya ketika ditanya laporan yang diumumkan oleh Suhakam itu, pada sidang media hari ini.
Pada 3 April lepas, Suhakam mengeluarkan satu laporan susulan inkuiri 18 bulan berhubung beberapa kes kehilangan orang, dan laporan itu membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terbabit dalam"kehilangan paksa” Koh dan Amri.
Mohamad Fuzi yang dijadualkan bersara sebagai ketua Polis Negara bulan depan, merupakan Ketua Cawangan Khas ketika itu.
Prosiding inkuiri itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, bekas hakim Mahkamah Rayuan.- Bernama
Artikel Berkaitan