Sokongan ahli UMNO Pekan kekal bersama Najib

Iklan
Para penyokong yang hadir pada Program Solidariti untuk Najib membawa sepanduk sebagai tanda sokongan untuk pemimpin itu.

PEKAN- Sokongan ahli UMNO dan penduduk Pekan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berbelah bahagi walaupun pemimpin itu kini berada di penjara.

Anaknya, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, sokongan itu digambarkan melalui kehadiran penyokong yang begitu ramai ke Program Solidariti Datuk Seri Najib di Dataran Pekan di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program itu mendapat sambutan sekali gus membuktikan penduduk Pekan sentiasa bersama dan setia dengan Najib.

"Sebagai seorang pemimpin dan ahli Parlimen yang telah berkhidmat selama 46 tahun di Pekan, beliau sentiasa dirindui dan jasanya kepada rakyat terus dikenang.

Iklan

"Sebagai tanda solidariti, UMNO Pekan juga telah mengedar borang petisyen sokongan untuk Datuk Seri Najib kepada seluruh ahli di Parlimen Pekan.

"Setakat ini belum ada angka sasaran tandatangan sokongan dari Pekan namun yakin sasaran 100,000 tandatangan penyokong dari seluruh negara mampu dicapai berdasarkan kepada gelombang sokongan terhadap pemimpin itu ketika ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika di temui selepas program itu di sini pada Ahad.

Mohd Nizar bersama para ahli dan penyokong UMNO dari Pekan pada Program Solidariti untuk Najib di Dataran Pekan di sini pada Ahad.

Program turut dihadiri Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil antara penceramah yang hadir berucap selain bekas ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Mohd Nizar berkata, agenda ayahnya membantu rakyat Pekan akan diteruskan sebaik mungkin.

"Walaupun masih dalam keadaan berduka, agenda beliau sejak sekian lama di kawasan ini tidak boleh terhenti dan perlu diteruskan.

"Beliau (Najib) ada menyampaikan rasa rindunya kepada rakyat terutama pengundinya di Pekan ini.

"Selama ini pun beliau sentiasa turun padang berinteraksi sambil mengambil tahu permasalahan rakyat di sini.

"Dalam keadaan beliau sekarang, sudah pasti suasana seperti inilah yang dirinduinya," katanya.