Rakyat Perak masih kurang minat bertani

Iklan
Saarani melakukan gimik pelancaran Briged Muda Petani Moden Negeri Perak sempena Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium, Lubok Merbau pada Ahad.

PADANG RENGAS - Rakyat Perak masih kurang berminat terlibat dalam bidang pertanian dan penternakan meskipun terdapat permintaan tinggi terhadap bekalan itu, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau memberi contoh bekalan daging lembu, daging biri-biri dan sayuran seperti kubis dan halia yang hanya merekodkan 13.6 peratus hingga 0.2 peratus dibekalkan sendiri oleh petani di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah itu adalah rendah dan perlu ditingkatkan bagi menampung keperluan makanan yang mencukupi dan berkualiti buat rakyat Perak yang mencecah 2.6 juta orang.

"Sekarang ini, kita masih kekurangan bekalan, hanya 13.6 peratus daging lembu dan 3.3 peratus daging biri-biri untuk Perak dibekalkan oleh penternak di negeri ini.

Iklan

"Begitu juga halia hanya 0.2 peratus dan kubis 2.0 peratus bekalan itu dibekalkan petani di Perak.

"Tetapi tidak tahu apa sebabnya orang Perak ini tidak berminat, sedangkan ini keperluan harian mereka," katanya dalam sidang akhbar sempena Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium, Lubok Merbau pada Ahad.

Iklan
Saarani (tiga dari kanan) melancarkan Hala Tuju Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negeri Perak sempena Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium, Lubok Merbau pada Ahad.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri kini dalam usaha meyakinkan rakyat untuk terlibat dalam bidang pertanian agar dapat bersama mencapai matlamat sebagai hab sekuriti makanan pertama negara.

Beliau berkata, antara langkah diambil adalah menerusi siri jelajah ke seluruh negeri bagi menyampaikan maklumat berkaitan bidang pertanian selain bantuan dan bentuk sokongan yang disediakan kerajaan.

"Kita tidak boleh tunggu lama, orang ramai kena diyakinkan bahawa tidak rugi berbudi kepada tanah, tidak rugi untuk memulakan penternakan makanan ruminan dan penternakan ikan.

"Pada masa sama kita tunjukkan kepada mereka bagaimana jabatan-jabatan dapat membantu. Ini untuk beri motivasi kepada mereka yang terlibat bahawa kita bersama mereka dan usaha mereka itu berbaloi kerana mereka adalah pembekal makanan utama negeri serta negara," jelas beliau.

Saarani (tiga dari kiri) memeriahkan sesi jualan murah ayam pada harga RM4 seekor sempena Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium, Lubok Merbau di sini pada Ahad.

Pada majlis itu, Saarani turut melancarkan Hala Tuju Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negeri Perak yang merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dengan kerjasama Institut Darul

Ridzuan (IDR).

Terdapat enam fokus utama pelaksanaan pelan tindakan itu iaitu mengoptimumkan sumber dan meningkatkan hasil, memperkasa penggunaan teknologi, pengukuhan tadbir urus, pemerkasaan data dan penyelidikan, pengukuhan kerjasama strategik dan pelaburan serta pemerkasaan ekonomi kitaran.