Takiyuddin sahkan ada rundingan antara pemimpin Pas-UMNO

Iklan
Takiyuddin

ALOR SETAR - Rundingan antara Pas dan UMNO untuk menjalin kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memang berlaku dan bukannya sekadar cakap kosong.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menegaskan perbincangan dua parti itu berlaku di peringkat tertentu namun tidak boleh didedahkan buat masa ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perbincangan tersebut dilakukan secara rasmi dan tidak rasmi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tiada sebarang rundingan oleh mana-mana pemimpin UMNO dengan Pas ketika ini seperti didakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Iklan

Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) setakat ini telah membuat keputusan untuk bertanding secara solo pada PRU15.

Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, pemimpin-pemimpin yang ditemui memiliki jawatan dalam parti itu selain mempunyai pengaruh untuk berbincang dengan Pas.

Iklan

"Tak semestinya yang boleh membuat keputusan tetapi boleh menuju ke arah yang boleh melakukan perbincangan lebih rasmi.

"Sebab itu saya katakan masih ada cahaya untuk kedua-dua pihak pada PRU15. Politik ini tak semestinya kita terus berada di meja perundingan secara rasmi sahaja, secara tidak rasmi pun boleh," ujar beliau.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, apa yang penting ia antara hasrat akar umbi ahli Pas untuk terus berunding dengan UMNO.

"Pendirian kita konsisten. Kita berunding dan bersedia dalam apa situasi sekalipun selagi belum berlaku pembubaran Parlimen atau PRU15," jelasnya.

Menurutnya, kesemua pimpinan Pas akan menerima mandat daripada parti untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Pas konsisten dengan penyatuan ummah, bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN). Saya optimis, sampai satu masa akan ada perbincangan secara rasmi," katanya lagi.

Tegasnya, Pas tetap konsisten menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk khemah besar dan Pas pusat akan mengadakan mesyuarat bulanan pada minggu depan membincangkan apa yang dibangkitkan dalam muktamar.