Juruterbang ugut mahu rempuh pasar raya terima padah

Iklan
Patterson (gambar kecil) berjaya mendarat dengan selamat di sebuah ladang pertanian. - Foto Agensi

WASHINGTON - Gara-gara mengugut mahu merempuh sebuah pasar raya, seorang juruterbang di Mississippi Amerika Syarikat (AS) berdepan padah setelah dia akhirnya ditahan sejurus pesawat dikendalikannya mendarat di sebuah ladang pertanian ketika kejadian pada Sabtu.

Jurucakap Pejabat Syerif Daerah Benton memaklumkan pesawat enjin berkembar Beechcraft King Air C90A tersebut dilaporkan berlegar-legar di ruang udara di bandar Tupelo dan kawasan sekitarnya kira-kira lima jam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek warga tempatan dari Shannon dikenali sebagai Cory Wayne Patterson, 29, dan akan didakwa atas kesalahan membuat ancaman pengganas serta mungkin berdepan dakwaan tambahan.

"Dia juga bukan seorang juruterbang berlesen.

Iklan

"Dia menghubungi talian kecemasan 911 di Tupelo pada jam 5 pagi (waktu tempatan) dan mengancam untuk merempuh pasar raya Walmart di West Main," ujar jurucakap polis.

Sebagai langkah berjaga-jaga, langkah pengosongan segera telah dilakukan di premis itu dan stesen minyak berhampiran.

Iklan

"Pihak berkuasa cuba memujuk Patterson dengan berkomunikasi melalui radio.

"Dia kemudiannya membatalkan hasrat untuk mendarat seperti yang dipersetujui dengan perunding polis dan pesawat itu menghala ke kawasan barat laut Tupelo," jelasnya lagi.

Suspek dikatakan sempat memuat naik mesej 'selamat tinggal' di Facebook setelah pesawat itu mula kehabisan minyak, namun dia berjaya mendarat di kawasan berhampiran Ripley tidak lama kemudian.

Susulan kejadian tersebut, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan ia telah melancarkan siasatan lanjut. - AFP