PEMENANG pingat emas acara 4x100 meter (m) Sukan Komanwel Birmingham 2022, Nzubechi Grace Nwokocha, digantung sementara selepas menggunakan bahan terlarang, kata Unit Integriti Olahraga (AIU).
Pelari berusia 21 tahun itu bersama gandingan Tobi Amusan, Rosemary Chukwuma dan Favor Ofili membawa pulang emas dengan catatan masa Afrika baharu 42.10 saat menewaskan pesaing dari England dan Jamaica.
Iklan
Iklan
"AIU menggantung sementara pelari Nigeria, Nzubechi Grace Nwokocha, setelah didapati terdapat Kehadiran/Penggunaan Bahan Terlarang (Ostarine & Ligandrol) (Perkara 2.1 dan Artikel 2.2),” kata badan itu dalam satu kenyataan di Twitter.
Keputusan itu menyaksikan Nwokocha dilarang daripada menyertai kejohanan buat sementara sehingga keputusan muktamad diputuskan dalam perbicaraan mengikut peraturan WADA.
Nwokocha layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu turut mempunyai catatan masa terbaik peribadi acara 100m (10.97s) dan 200m (22.44s) di Kejohanan Dunia di Eugene, Oregon, Amerika Syarikat tahun ini.