KOTA TINGGI - Seorang pemancing dikhuatiri lemas manakala dua yang lain selamat dalam pelanggaran dua buah bot di Jalan Kerisi, Kampung Sungai Sembayong di sini, petang Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Rafiee A Karim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.11 petang sebelum 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, Pasukan keluaran Operasi (PKO) mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua buah bot masing-masing berukuran empat dan sembilan meter.
"Kemalangan itu menyebabkan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 29 hingga 38 tahun yang dalam perjalanan pulang dari memancing itu tercampak ke dalam sungai dari bot berukuran empat meter.
"Akibat pelanggaran itu, seorang mangsa yang berusia 35 tahun masih hilang manakala dua yang lain berjaya diselamatkan orang awam. Seorang mangsa yang cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerja-kerja pencarian awal dengan kaedah pencarian di permukaan air sedang dijalankan menggunakan dua buah bot orang awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, ketika dihubungi Bernama malam Ahad, mengesahkan menerima laporan itu.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan oleh Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk setempat bagi mengesan seorang mangsa yang masih hilang. - Bernama