PASUKAN Johor Darul Ta'zim II (JDT II) hampir pasti bergelar juara Liga Premier selepas membenam Terengganu FC II (TFC II) 3-0 pada perlawanan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, malam Ahad.
Skuad JDT II berada di persada liga mengumpul 39 mata dengan berbaki satu lagi perlawanan, membuka jaringan pendahuluan pada minit ketujuh menerusi rembatan pemain berusia 20 tahun, Daryl Sham.
Beberapa peluang terhidang bagi kedua-dua pasukan untuk mencetak gol namun gagal disempurnakan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, JDT II terus menambah luka TFC II menerusi jaringan gol Omar Hakeem yang menendang masuk hantaran Daryl Sham pada minit ke-82.
Selang tiga minit kemudian, giliran Moussa Sidibe menjaringkan gol ketiga pasukan bagi memberikan keselesaan buat JDT II sehingga wisel penamat.
Di Kuching, bekalan tiga mata berjaya diperoleh Kuching City FC selepas menundukkan Kelantan United 2-1 pada aksi berlangsung di Stadium Negeri.
Memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri, anak buah Irfan Bakti berhasil memperoleh gol pendahuluan menerusi pemain import dari Liberia, Abu Kamara pada minit ke-63 disusuli jaringan Amir Amri Salleh empat minit kemudian.
Kelantan United bagaimanapun memperoleh gol sagu hati pada masa kecederaan menerusi Asraff Aliffudidin sebelum wisel separuh masa kedua ditiup.
Di Kota Bharu, hasrat Kelantan FC memintas kedudukan pendahulu Liga Premier, JDT II terbantut selepas tewas 1-2 kepada Selangor FC 2 dalam perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV.
Kelantan memperoleh gol tunggal menerusi sepakan penalti Muhammad Ghaffar pada minit ke-76 sementara Selangor 2 menerusi jaringan Muhammad Aliff izwan Yuslan pada minit ke-28 dan S. Sharvin pada minit ke-34. - Bernama