PARA pemain badminton negara perlu mempunyai mentaliti untuk menjadi juara bagi memacu mereka untuk beraksi cemerlang dan meraih gelaran besar di peringkat antarabangsa.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, kekuatan mental pemain negara masih belum berada pada tahap terbaik.
Ini selepas barisan pemain negara sekadar menamatkan saingan Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Osaka dalam pusingan suku akhir.
"Itu cuma pandangan saya, pemain sendiri perlu ada perubahan daripada segi cara mereka berfikir,” katanya.
Tiga wakil terakhir negara iaitu beregu campuran, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, selain beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teoh Ee Yi gagal ke separuh akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing baru-baru ini.
Bagi Rexy, faktor kekuatan mental menjadi perkara paling utama dalam memastikan setiap pemain negara dapat beraksi dengan lebih konsisten di pentas tertinggi dunia.
"Para pemain sebenarnya boleh pergi lebih jauh, cuma mereka masih bermain dengan tidak konsisten.
"Mereka terganggu dengan fikiran-fikiran yang tidak perlu sehingga prestasi dalam gelanggang menjadi tidak konsisten.
"Itu yang membuatkan saya berasa sedikit tidak puas kerana pemain di tahap mereka tidak boleh terlalu mudah diganggu dengan fikiran seperti itu,” katanya.