Jangan sampai DBKL tanam pokok kaktus

Iklan
Landskap musnah akibat dipijak orang ramai yang teruja menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu.

MERAK Jalanan memang teruja pada pagi 31 Ogos lalu. Awal-awal pagi Merak Jalanan dah terpacak depan TV sebab nak tengok perarakan Hari Kebangsaan.

Apa tidaknya lebih dua tahun kita dihantui pandemik, selama itu jugalah banyak acara rasmi tahunan tidak dapat diadakan termasuk perarakan Hari Merdeka.

Iklan
Iklan

Lebih manis, Kuala Lumpur kembali jadi tuan rumah selepas sebelum ini perarakan diadakan di Putrajaya.

Ramai kawan-kawan pejabat Merak Jalanan pun ke Dataran Merdeka. Katanya ada yang keluar seawal jam 5 pagi dari rumah.

Iklan

Begitulah semangatnya, rakyat Malaysia sambut merdeka. Syabas dan tahniah.

Tapi yang kurang enaknya, selepas perarakan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maklumkan yang beratus-ratus pokok hiasan penyek dan rosak.

Katanya, kerugian akibat landskap rosak itu mencecah RM700,000. Terkejut Merak Jalanan, sebab nilai kerugian sudah boleh beli lebih 15 buah kereta Myvi.

Iklan

Merak Jalanan faham pagi itu memang ramai sungguh pengunjung. Ada yang kata jumlah orang di dataran cecah 100,000 orang.

Ada juga yang sudah beberapa kali ke dataran setiap kali Hari Kebangsaan beritahu, inilah jumlah pengunjung teramai disaksikannya.

Pun begitu dalam keghairahan pengunjung mencari kedudukan terbaik nak menonton perarakan, tak sepatutnya dipijak-pijak pokok-pokok hiasan begitu sahaja.

Dalam semangat merdeka, kita juga harus jadi warganegara yang berdisiplin dan jadi contoh kepada anak-anak kecil.

DBKL pun boleh ambil iktibar daripada insiden ini. Mungkin pada masa depan, lokasi-lokasi hotspot penonton janganlah ditanam pokok kekal.

Lebih baik ia berkonsepkan mudah alih supaya senang bila ada acara besar, pokok pun selamat. Harap DBKL tidak trauma dan tanam pokok kaktus sudahlah lepas ini!