SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang berlangsung 10 hari bermula 26 Ogos lalu berjaya menarik kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang tempoh berkenaan.
Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, sambutan yang diterima sangat luar biasa kerana stok buku terutama penjualan buku baharu sentiasa ditambah sepanjang jualan gudang tersebut.
"Memang dapat sambutan dan ia lebih daripada target yang disasarkan.
"Selain buku-buku promosi yang menjadi pilihan, malah jualan gudang kali ini menunjukkan kelainan apabila penjualan buku baharu turut mendapat sambutan.
"Ini menunjukkan pengunjung kali ini adalah berkualiti kerana mereka bukan hanya untuk membeli buku-buku murah ditawarkan malah ingin mendapatkan buku-buku baharu yang dijual dengan harga berpatutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Roziyana, antara buku yang paling laris sepanjang jualan gudang tersebut ialah buku berjudul 100 Pesanan Terakhir Rasulullah selain buku bertajuk 13 Kaum Yang Binasa.
"Harga asal ialah sebanyak RM30 bagi buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah manakala buku 13 Kaum Yang Binasa dengan harga RM28 namun setelah mendapat diskaun, pelanggan boleh mendapatkan harga buku tersebut di bawah RM25,” katanya.
Roziana turut melahirkan penghargaan terhadap pengunjung yang hadir dari serata negeri semata-mata untuk memberikan sokongan sepanjang jualan tersebut diadakan.
"Insya-ALLAH kami akan keluarkan lagi buku-buku baharu dan akan mengadakan jualan gudang pada masa akan datang. Terima kasih sekali lagi kepada pengunjung yang hadir,” ujarnya.