Teratak Gemilang cerminan semangat patriotik Mohd Halikin

Iklan
SANDAKAN, 30 Ogos -- Tukang cat Saldi Anan mengecat bintang di atas atap rumah Mohd Salikin Angga bertemakan Jalur Gemilang di Batu 15 Jalan Labuk hari ini. Menurut Salikin, rumahnya yang diberi nama Teratak Gemilang ini mula dicat bertemakan Jalur Gemilang sejak tahun 2004 bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan ahli keluarganya. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

SANDAKAN - Mohd Halikin Angga mempunyai alasan tersendiri untuk mengecat seluruh bahagian luar rumahnya di Batu 15, Jalan Labuk, termasuk bumbung dengan corak dan warna Jalur Gemilang sehingga menarik perhatian ramai.

Malah corak dan warna cat rumah bertiang Mohd Halikin, 64, yang dinamakannya sebagai Teratak Gemilang dan terletak di atas bukit itu sudah berkeadaan demikian sejak 18 tahun lepas dan beliau tidak berhasrat mengubahnya sampai bila-bila.

Iklan
Iklan

Menurut ahli perniagaan itu, beliau mendapat inspirasi untuk mengecat rumahnya dengan corak dan warna Jalur Gemilang sebagai menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan kerana mengenang cerita ibu bapanya yang pernah menempuh kesengsaraan hidup ketika zaman penjajahan.

"Sebelum memikirkan inisiatif ini (cat rumah), setiap sambutan Bulan Kebangsaan saya akan pacakkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di halaman rumah. Tetapi selesai sahaja sambutan Bulan Kebangsaan, bendera semua akan dicabut balik (semula).

Iklan

"Pada tahun 2004, saya melihat dinding luar rumah telah sedia dicat putih dan saya berfikir apa salahnya saya cat jalur merah pula seperti pada Jalur Gemilang dan bumbung rumah dicat biru dan dicat pula lagi warna kuning untuk lambang bulan sabit dan bintang.

"Jadi, itulah yang saya lakukan dengan kos saya sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.

Iklan

Semangat patriotik Mohd Halikan tidak hanya ditunjukkan di luar rumahnya, malah bahagian ruang tamu dalam rumahnya turut dihiasi potret Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Yang Dipertua Negeri Sabah dan isteri, serta semua potret Perdana Menteri sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun beliau mengakui koleksi potret Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong belum lengkap dan masih meneruskan usahanya untuk melengkapkannya.

Pada dinding ruang tamunya juga terdapat satu gambar hitam putih peristiwa pertemuan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman dengan 20 pemimpin Borneo Utara di Kuala Lumpur pada 9 Oktober 1961 bagi menerangkan rancangan penubuhan Malaysia.

Menurutnya, gambar tersebut dilihat dalam sebuah akhbar yang dibacanya ketika dalam penerbangan Malaysia Airlines ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah pada 2005 dan beliau mendapat izin daripada staf penerbangan itu untuk membawa pulang keratan akhbar berkenaan.

Katanya, selepas kembali dari mengerjakan umrah, gambar dalam akhbar yang saiznya diperbesarkan itu dibingkaikan dan digantung pada dinding rumahnya.

Menurut Mohd Halikin, beliau tidak menyangka kelainan yang ada pada rumahnya itu, mendapat sambutan baik daripada masyarakat yang sanggup singgah semata-mata untuk mengagumi usahanya itu dan mereka turut mengabadikan gambar di Teratak Gemilang.

Sebagai menghargai ketokohan dan sumbangan besar negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada negara Mohd Halikin turut menamakan dua daripada tujuh anaknya sempena nama kedua-dua perdana menteri berkenaan.

"Mudah-mudahan kemerdekaan hari ini terus dikekalkan untuk selamanya dan keharmonian yang kita kecapi sekarang tidak tercemar kerana seperti kita lihat di negara lain, susah untuk bangun kembali,” katanya. - Bernama