IPOH - Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua rumah dan sebuah tokong di Jalan Merah 1/4, Bukit Merah, Menglembu di sini pada Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Loo Kin Chan@Loo Kok Chan, 78, ditemukan dalam salah sebuah rumah terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.25 pagi.
"Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan aliran air. Operasi turut dibantu oleh pasukan daripada BBP Ipoh hingga api berjaya dipadam sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.55 pagi.