Sultan Selangor berkenan rasmi Port Klang Cruise Terminal

Iklan
Sultan Sharafuddin

PULAU INDAH - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin berkenan merasmikan Port Klang Cruise Terminal (PKCT) di sini yang sebelum ini dikenali sebagai Boustead Cruise Centre.

Sultan Sharafuddin bertitah, pengambilalihan dan penjenamaan semula terminal pelayaran itu dilihat sebagai tepat pada masanya iaitu pada ketika negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang meruncing kesan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Beta yakin dengan usaha yang dilakukan oleh pihak PKCT, ia boleh dijadikan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa di samping menjana semula pendapatan industri pelancongan di Selangor yang teruk terjejas,” titah baginda.

Bagi mempertingkatkan mutu dan daya saing industri tersebut, Sultan Selangor menyarankan agar pihak PKCT dapat bekerjasama dalam mempertingkatkan tahap fasiliti dan infrastuktur di terminal supaya menjadi sebuah terminal pelayaran penumpang bertaraf antarabangsa.

Iklan

Baginda juga bertitah agar kerajaan negeri bekerjasama dengan pihak PKCT bagi memperkenalkan industri kraf tangan tempatan yang berkualiti tinggi kepada pelancong yang singgah di PKCT dengan mengadakan pameran hasil kraf tangan dari merata pelosok negara khususnya Selangor.

Turut berangkat ke majlis tersebut, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Iklan

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, Pengerusi PKCT, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan untuk pelan pengembangan masa depan.

"Kami berhasrat untuk menambah dermaga bagi menampung lebih banyak singgahan kapal persiaran. Kami juga merancang untuk menaik taraf kemudahan terminal untuk menampung lebih ramai penumpang.

"Impian kami adalah untuk menjadikan PKCT sebagai pemangkin pertumbuhan industri pelancongan negara dan pemacu ekonomi Selangor,” katanya.

PKCT adalah sebuah terminal pelayaran yang kini dimiliki oleh Klang Port Management Sdn Bhd, anak syarikat Northport (Malaysia) Bhd (Northport) dan Westports Malaysia Sdn Bhd (Westports).

Pada Disember 2019, Northport dan Westports memeterai usaha sama untuk mengambil alih pegangan saham Boustead Cruise Centre Sdn Bhd (BCC) pada nisbah 50:50 daripada Boustead Holdings Bhd bagi mengambil alih terminal pelayaran, Boustead Cruise Centre.

Pada Mac 2021, Northport, Westports dan Boustead telah memeterai Perjanjian Jual Beli Saham (SSPA) untuk pemerolehan BCC dan pengambilalihan selesai pada 23 Sept 2021 seterusnya pemilik baharu melaksanakan penjenamaan semula dan kini terminal pelayaran itu dikenali sebagai PKCT. - Bernama