SKUAD dodgeball lelaki negara melakar kejayaan di bumi Kanada apabila muncul juara buat kali ketiga Kejohanan Dodgeball Dunia 2022 pada Ahad.
Kejayaan menewaskan Australia 10-5 pada perlawanan akhir yang berlangsung Pusat Sukan Komuniti Saville, Edmonton itu mengulangi pencapaian skuad negara yang muncul juara pada 2017 dan 2018.
Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V Radhakrishnan berkata, kejayaan yang dirangkul skuad dodgeball lelaki itu adalah hadiah bermakna buat negara yang menyambut Hari Kebangsaan ke-65 baru-baru ini.
"Saya berbesar hati untuk memaklumkan pasukan dodgeball lelaki negara memenangi Kejohanan Dunia di Edmonton Kanada, semalam.
"Pada kejohanan terakhir pada tahun 2019 kami menjadi naib juara," katanya.
Beliau menambah, pasukan negara akan menerima ganjaran khas sebagai tanda penghargaan buat mereka selain turut berterima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang buat skuad negara.
"Sebagai Presiden MAD, saya berbangga dengan pencapaian pasukan negara ketika ini.
"Ucapan terima kasih juga buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Berjaya Corporation, Black Box dan semua penaja lain yang memberi sokongan kepada kami," katanya.
Dalam pada itu, pasukan campuran negara meraih pingat perak selepas tewas kepada pasukan tuan rumah, Kanada 3-5 dalam saingan akhir.
"Kami juga amat berbangga dengan pemain pasukan lelaki, Carlos Goonting yang dianugerahkan gelaran pemain paling berharga," ujar Radhakrishnan.
Malaysia pernah muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita pada edisi 2017 di Toronto, Kanada dan skuad lelaki berjaya mengulangi kejayaan sama pada edisi 2018 di Los Angeles.
Bagaimanapun kedua-dua pasukan muncul naib juara pada edisi berikutnya di Cancun, Mexico pada 2019.