SHAH ALAM - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak paling mudah untuk dibuktikan.
Menurutnya, ia menjadi antara faktor kes tersebut adalah yang pertama dibawa ke mahkamah berbanding kes lain untuk mendakwa bekas Perdana Menteri itu.
Malah, beliau menjelaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiasat kes tersebut dan sedikit sebanyak membantu Jabatan Peguam Negara.
"Pada tahap tertentu, pilihan dibuat kerana peguam perlu bergantung kepada arahan dan dalam kes ini, kertas siasatan. Jadi bayangkan DPP (timbalan pendakwa raya) dan saya sendiri sebagai peguam melihat dokumen yang diberikan oleh orang lain. Dalam kes ini, ia adalah siasatan SPRM, berbanding agensi lain. SPRM kata fail yang mereka teliti sebelum ini adalah SRC (International).
"Mereka mengesahkan khabar angin yang tersebar di KL (Kuala Lumpur), iaitu ketika pendahulu saya, (Tan Sri) Abdul Gani Patail yang dipecat pada Julai 2016 bahawa SPRM mendahului dalam siasatan SRC, jadi ia hanya menjalankan tugas tersebut.
"Itu adalah faktor utama - fail itu datang kepada saya. Mujur, SRC adalah yang paling mudah untuk dibuktikan, kerana jika anda mendedahkan segala-galanya, ia hanya melibatkan kecurian RM42 juta. Jadi, ia mudah untuk dibuktikan," katanya dalam wawancara bersama portal berita, Malaysiakini.
Beliau yang mengendalikan kes daripada awal turut menjelaskan tindakannya menyerahkan kes tersebut kepada pendakwa luar dan bukannya individu dari Jabatan Peguam Negara pada 31 Ogos 2018.
Menurutnya, dokumentasi yang banyak itu bagus kerana ia membantu untuk membuktikan kes, tetapi perlu ada peguam yang benar-benar mahir dengan dokumen berkenaan dan bukan sekadar membaca serta cuba memahami.
"Anda perlu mendapatkan konteks dan mempunyai pengalaman dalam mengendalikan penipuan korporat, komersial dan penipuan kewangan. Peguam yang berpengalaman dalam menangani kes sebegini akan lebih faham dengan masalah berkenaan.
"Itulah sebab saya memutuskan untuk mendapatkan peguam luar. Saya membuat pengumuman pada Hari Merdeka, 31 Ogos 2018, bahawa kita melantik Sulaiman (Abdullah) untuk mengendalikan SRC, dan (Gopal) Sri Ram untuk kes 1MDB dan kes lain.
"SRC, secara teknikalnya, bukan sebahagian daripada 1MDB. Ia adalah berasingan. Tetapi untuk rujukan mudah, semua orang meletakkannya sebagai sebahagian daripada penipuan 1MDB, tetapi ditegaskan bahawa ia bukan sebahagian daripada 1MDB," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan tidak berdepan sebarang kesulitan ketika mendakwa Najib selain tidak berada di bawah tekanan politik.
"Kami sangat jelas dalam fikiran iaitu, pasukan undang-undang, bahawa ini hanyalah seperti kes lain dan menganggapnya seperti itu. Tidak kira siapa yang dituduh.
"Saya berkata demikian semasa ucapan pembukaan dalam perbicaraan - dan setiap kali bercakap mengenainya, saya menekankan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah relevan. Perkara 8(2) membicarakan tentang kesaksamaan semua rakyat Malaysia (dan warganegara luar yang tinggal di Malaysia) dilayan sama rata di bawah undang-undang.
"Dan sebaik sahaja anda bersetuju, ia adalah asas kepada kes kami dan sepanjang persediaan dan pembentangan tidak ada beza daripada mana-mana tertuduh yang lain. Dia dan peguamnya mungkin bercakap tentang hak-hak, tetapi apa yang kita tumpukan, dia sama seperti tertuduh lain," katanya.