IPOH - Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang sebelum ini disebut bakal bertanding di kerusi Parlimen Tambun mengalu-alukan kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding, namun menyifatkannya sebagai tidak berbaloi.
Menurut beliau, sebagai calon Perdana Menteri, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai standard yang tinggi untuk bertanding di Perak.
"Saya memikirkan bakal Perdana Menteri mahu bertanding di Tambun, memang cukup layak untuk dia bertanding.
"Tetapi pada pandangan saya harus mempertimbangkan juga kedudukannya dalam politik untuk bertanding di sini.
"Tak akan kita nak turunkan standard dia kepada ini kan (bertanding di Tambun), berbaloi ke?," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Bagaimanapun katanya, belum ada sebarang ketetapan rasmi dibuat berhubung kedudukan calon dan kerusi di situ, setakat ini.
"Saya fikir dia (Anwar) cuma memberi maklum balas kepada soalan pemberita sahaja.
"Dia tidak mengatakan secara rasmi akan bertanding di Tambun, tetapi bagi kami kalau bos besar nak datang, beri kelebihan kepada kami," katanya.
Pada 11 Ogos lalu, Anwar sedia mempertimbangkan pelawaan PKR Perak untuk bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Antara kerusi dicadangkan termasuklah kawasan Parlimen Tambun yang kini disandang Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selain Anwar, Abdul Aziz yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan pada PRU15.