IPOH - Kes lelaki warga emas yang ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Jalan Menglembu Barat 1, Menglembu di sini pada Isnin tidak melibatkan sebarang elemen jenayah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, Loo Kin Chan@ Loo Kok Chan, 79, yang tinggal sendirian di salah sebuah rumah berkenaan ditemukan dalam keadaan 90 peratus anggota badannya terbakar.
Iklan
Iklan
"Kebakaran yang dilaporkan berlaku pada jam 5.24 pagi itu dipercayai bermula dari rumah mangsa sebelum merebak ke rumah bersebelahan.
Menurut Yahaya, siasatan masih diteruskan oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua rumah terbabit musnah hampir 80 peratus dalam kejadian itu.
"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat manakala, dua penghuni rumah bersebelahan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.