SHAH ALAM - Rata-rata pengguna media sosial melahirkan rasa tidak setuju sekiranya kerajaan memansuhkan pemakaian pelitup muka di negara ini.
Menerusi tinjauan Sinar Harian di platform media sosial pada Isnin, sebanyak 49 peratus undian orang ramai yang tidak setuju dengan pemansuhan tersebut.
Selain itu, terdapat 43 peratus undi bagi yang menyokong keputusan tersebut, manakala tujuh peratus lagi undi bagi tidak pasti.
Berdasarkan ruangan komen yang ditinggalkan di perkongsian terbabit, kebanyakan berpandangan tidak bersetuju kerana wabak Covid-19 masih lagi belum berakhir dan kes-kes masih lagi meningkat.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat bahawa pemakaian pelitup muka itu penting sebagai langkah berjaga-jaga kepada masyarakat.
Kutipan undian yang bermula pada hari ini jam 1 petang itu dilakukan menerusi platform media sosial Instagram milik Sinar Harian.
Pada Isnin lalu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat secara terperinci mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka dengan skop lebih luas selepas ia diwajibkan ke atas semua penduduk di negara ini, sejak lebih dua tahun lalu.
Muhyiddin berkata, MPN telah memohon Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali supaya melihat kepada keperluan pemakaian pelitup muka sekiranya situasi pandemik Covid-19 beransur pulih.
Pemakaian pelitup muka diwajibkan berkuat kuasa 1 Ogos 2020 dan dilonggarkan di kawasan terbuka pada 1 Mei lalu.