SKUAD Bawah 19 (B-19) tahun negara sudah menemui formula terbaik bagi melayakkan diri secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan Piala Asia B-20 di Uzbekistan pada Mac tahun depan.
Perkembangan dikongsi pengendali skuad B-19, Hassan Sazali Waras yang mengakui ramuan itu kini di fasa akhir sebelum digunakan pada kempen Kelayakan Piala Asia B-20 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 14 hingga 18 September ini.
Justeru, beliau berharap para pemain dipanggil ke kem latihan pusat kali ini dapat memberi prestasi terbaik masing-masing sebelum pasukan negara menyingkap kempen Kelayakan berdepan tuan rumah Mongolia pada 14 September ini.
"Selepas mengharungi dua kejohanan iaitu AFF B-19 dan Piala Thanh Nien, saya sudah menjumpai formula terbaik buat pasukan untuk melayakkan diri ke Piala Asia B-20 tahun depan.
"Kedua-dua kejohanan itu sebenarnya sangat membantu saya dan barisan kejurulatihan untuk memilih pemain yang bakal menggalas cabaran Malaysia di pusingan kelayakan Piala Asia B-20.
"Saya harap pemain yang dipanggil ini dapat memberikan prestasi terbaik sebelum berlepas ke Mongolia nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Pada pusingan kelayakan Piala Asia B-20, skuad negara diundi dalam Kumpulan E bersama Mongolia, Sri Lanka dan Korea Selatan.
Malaysia bakal membuka tirai perlawanan bertemu tuan rumah pada 14 September diikuti Sri Lanka pada 16 September dan Korea Selatan 18 September dengan kesemua perlawanan di Stadium MFF, Ulaanbaatar.
Pada masa sama, Hassan Sazali memberitahu, dua pemain yang dipanggil sebelum ini iaitu Adli Ahamad dan Muhammad Haqimi Azim Rosli tidak dapat menyertai pasukan kerana mengalami kecederaan serta komitmen bersama pasukan.
Hassan Sazali turut mendedahkan, semua latihan bakal diadakan di padang sintetik supaya para pemain dapat membiasakan diri dengan keadaan tempat yang akan digunakan sepanjang kelayakan itu.
"Sebagai persediaan, kita akan berlatih di beberapa padang sintetik bagi membiasakan diri sebelum beraksi di pusingan kelayakan itu,” ujarnya.