SEJAK kerajaan mengumumkan fasa peralihan endemik dan kelonggaran keluar sama ada untuk urusan rasmi dan sosial, ramailah yang ambil peluang untuk berjalan-jalan atau melancong di dalam negara.
Antara tempat yang dikunjungi ramai ialah pusat beli-belah. Bahkan, stesen pengangkutan awam sama ada di bandar atau luar bandar juga sudah mula dibanjiri orang ramai semula.
Bagi yang gemar berjalan-jalan atau mengembara tetapi dalam waktu sama ingin berjimat, pengangkutan bas dan kereta api akan menjadi pilihan.
Bercerita mengenai pengangkutan awam, baru-baru ini Merak Jalanan berpeluang menaiki kereta api dari ibu negara ke Perlis.
Sepanjang perjalanan, Merak Jalanan sempat melihat gelagat penumpang berbilang bangsa yang menaiki kereta api berkenaan.
Masing-masing kelihatan ceria, mungkin kerana seronok dapat berjalan-jalan.
Disebabkan tempat duduk dan ruang terhad, Merak Jalanan terlihat seorang penumpang menawarkan tempat duduknya kepada ibu yang sedang memangku anaknya yang berusia setahun lebih.
Keprihatinan penumpang itu mendapat perhatian yang lain apabila mereka bergilir-gilir tempat duduk sementara sampai ke destinasi akhir yang memakan masa lebih enam jam.
Merak Jalanan semakin terharu apabila ada penumpang yang prihatin menghulurkan roti dan minuman kotak kepada ibu berkenaan.
Tidak lama kemudian, pembantu koc menawarkan tempat duduk rehat kepada penumpang yang prihatin itu sehinggalah ada tempat kosong lain dalam koc berkenaan.
Keadaan itu betul-betul mengharukan Merak Jalanan kerana tingginya sikap bertimbang rasa penumpang-penumpang dalam koc berkenaan sepanjang perjalanan.
Syabas rakyat Malaysia. Inilah semangat Keluarga Malaysia yang kita mahu lihat.