KUALA LUMPUR - Polis berjaya mematahkan cubaan kumpulan samun kedai emas bersenjatakan pistol, susulan penahanan tiga lelaki secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada Ahad dan Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, empat anggota polis dari Balai Polis Kepong yang membuat rondaan menahan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Bandar Manjalara, Kepong pada jam 8.54 malam Ahad.
"Hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta jenis Proton Wira, kita menjumpai sepucuk pistol semi auto berisi empat butir peluru dan sepucuk pistol revolver berisi enam butir peluru," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.
Azmi berkata, polis turut merampas lapan butir peluru di dalam poket salah seorang suspek dan 10 butir peluru dijumpai dalam gengaman tangan rakan suspek.
Beliau berkata, hasil soal siasat, polis memberkas seorang lelaki berusia 47 tahun di Jalan Klang Lama pada jam 1.15 pagi Selasa.
"Lelaki tersebut disyaki perancang utama untuk melakukan rompakan kedai emas di sekitar Lembah Klang," katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas rumah suspek, polis merampas wang tunai RM129,300 dan 39 peket barang kemas dianggarkan bernilai RM175,000.
"Hasil semakan rekod lampau mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah, kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960," katanya.