BANGKOK - THAILAND. Thailand akan mengadakan pilihan raya kecil di enam pusat pengundian manakala kiraan semula undi bakal dilakukan di dua lagi kawasan lain, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (EC), semalam.
Keputusan itu dibuat selepas terdapat dakwaan penyelewengan undi seperti laporan nombor tidak sepadan, pengundi tidak layak dan penangguhan keputusan berulang kali selepas Pilihan Raya Umum pada 24 Mac lalu.
Iklan
Iklan
"Terdapat jumlah kertas undi yang dikira tidak sepadan dengan angka pengundi di beberapa pusat pengundian," kata Timbalan Ketua Pengarah EC, Sawaeng Boonmee.
Keputusan awal dikeluarkan pada Khamis lalu menyaksikan parti projunta, Palang Pracharath memenangi undi popular dengan 8.4 juta undi, namun keputusan rasmi hanya akan diketahui pada 9 Mei depan.
Bagaimanapun, parti dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra memenangi 137 kerusi kawasan pilihan raya mengatasi Palang Pracharat yang meraih 97 kerusi. - DPA