Sukma 2022: Negeri Sembilan sasar 23 pingat emas

Iklan
Aminuddin (kiri) beramah mesra dengan atlet terlibat pada majlis berkenaan.

NEGERI Sembilan menyasarkan 23 pingat emas dan berada di kedudukan sekurang-kurangnya sembilan terbaik dalam kalangan kontinjen yang bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur nanti.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, wusyu, olahraga, hoki dan E-Sport antara sukan yang dilihat boleh menyumbang pingat emas dalam Sukma kali ini.

Iklan
Iklan

"Saya dimaklumkan kontinjen Negeri Sembilan kali ini akan disertai 522 pegawai dan atlet dan akan menyertai 28 daripada 31 acara sukan yang dipertandingkan.

"Bagi atlet yang memenangi pingat, kerajaan negeri akan menambah pemberian wang tunai sebagai insentif dan barisan pengurusan pasukan juga turut mendapat insentif kemenangan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera kepada pengurus-pengurus pasukan ke SUKMA kali ke-20 tahun 2022 di Dewan Theattrette Wisma Negeri pada Selasa.

Pada Sukma 2018 di Perak, Negeri Sembilan menduduki senarai ke-12 daripada 15 kontinjen yang bertanding dengan memperoleh 13 emas, 18 perak dan 43 gangsa.

Iklan

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri berharap melalui platform ini, atlet Negeri Sembilan bertaraf antarabangsa dapat dilahirkan untuk mewakili negara di persada dunia sukan.

"Tonjolkan kebolehan anda dalam acara sukan masing-masing. Jika anda semua dipilih untuk menyertai kontinjen Negeri Sembilan, pasti anda layak untuk meraih kejayaan di Kuala Lumpur nanti," katanya.