KEDAH Darul Aman (KDA) FC bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan Pattani FC yang mampu menjadi rangkaian kelab tersebut di sebelah selatan negara Thailand.
Penaungnya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, sebagai permulaan Sang Kenari telah diundang menyertai perlawanan persahabatan bersama pasukan itu pada 30 Oktober depan.
Menurutnya, Pattani FC yang turut dibarisi ramai pemain Muslim dari beberapa wilayah di selatan Thailand juga turut dijemput ke Stadium Darul Aman untuk perlawanan persahabatan.
"Saya diperkenalkan kepada pegawai Pattani FC. Salah seorang dari mereka adalah bekas Presiden Persatuan Bolah Sepak Thailand dan kini saya sudah ada 'contact' baru kalau perlu apa-apa bantuan dan maklumat di Thailand.
"Liga di Thailand amat berprestij. Kedah FC juga mempunyai seorang pemain dari Thailand iaitu Sarawat Dechtmir. Semua kenal beliau sebagai pemain yang baik," katanya yang dipetik melalui Facebook rasminya.
Berkongsi warna pasukan hijau dan kuning yang sama, Mohd Daud percaya melalui rangkaian kelab ini mampu erat kerjasama lebih jauh dalam membangunkan bolasepak di Kedah.
Pada Isnin, Mohd Daud diumumkan sebagai pemegang saham terbesar dalam KDA FC kini mengalas tugas besar bagi persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 yang lebih mencabar.
Sang Kenari kini berada di tangga ketujuh Liga Super 2022 dengan mengumpul 21 mata selepas 15 perlawanan.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat pada Jumaat ini bagi aksi Liga Super 2022 bertemu Melaka United.