KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah menyalurkan bantuan sebanyak RM2.1 juta bagi membina kediaman baharu dan baik pulih rumah asnaf yang layak pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, jumlah bantuan tersebut memberi manfaat kepada 50 penerima di seluruh Terengganu yang mula disalurkan sejak Januari lalu.
"Ia meliputi bantuan membina 26 rumah baharu yang melibatkan kos sebanyak RM1.7 juta manakala bantuan baik pulih rumah pula berjumlah RM444,600 membabitkan 24 buah rumah,” katanya di sini pada Selasa.
Menurut beliau, Maidam juga telah mengagihkan sebanyak RM3.6 juta bantuan kepada asnaf yang terlibat dalam musibah seperti kebakaran kediaman, kerosakan rumah akibat ribut dan banjir dalam tempoh sama.
Ahmad Azrin berkata, bantuan bagi meringankan beban dan memberi keselesaan kepada asnaf itu merupakan hasil dana zakat yang disumbangkan oleh pembayar zakat.
Sementara itu beliau memaklumkan, Maidam memulakan usaha baharu dalam mengurangkan bilangan asnaf, fakir dan miskin negeri ini dengan melaksanakan program keusahawanan melibatkan belia dari keluarga penerima zakat.
Jelas Ahmad Azrin, Maidam telah memeterai bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta pada Ogos lalu untuk melatih anak-anak asnaf dalam perniagaan sekali gus muncul sebagai ‘hero’ dalam keluarga masing-masing.
Setakat ini katanya, hampir 50 anak asnaf dipilih menyertai program tersebut dan mereka telah berjaya dalam sesi temu duga serta bakal melapor diri di Akademi Keusahawanan Islam dalam masa terdekat.
"Sebahagian besar program agihan zakat dikhususkan kepada asnaf, fakir dan miskin dan ia berbentuk penyaluran wang tunai untuk membiayai keperluan asas sama ada bantuan sara hidup tahunan atau bantuan bulanan atau bantuan lain.
"Mengekalkan status quo (program agihan semasa) hanya mengekalkan bilangan asnaf fakir dan miskin, malah bilangannya semakin bertambah setiap kali kita berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.
"Jadi program sedia ada perlu diperluaskan kepada yang lebih lestari serta produktif. Harapan kita adalah semoga mereka berjaya keluar daripada kumpulan asnaf dan mampu menjadi pembayar zakat,” katanya.