SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengkaji kedudukan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum memutuskan tindakan menutup pejabat UNHCR.
Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md Saad berkata, pihaknya akan mengukuhkan mekanisme dalam memastikan perlaksanaannya mantap serta teratur sebelum mengesyorkan perkara itu kepada kerajaan.
"Jadi masanya masih subjektif bergantung kepada persiapan dan kejayaan mekanisme yang kita urus sendiri namun pelannya telah ada supaya kita sendiri mengurus pendatang tanpa izin (PATI) dan pelarian di negara kita tanpa campur tangan asing.
"Ada tiga pejabat UNHCR (di Malaysia) yang utamanya di Jalan Bellamy di Kuala Lumpur dan masing-masing sebuah di utara Semenanjung dan Johor bagi bahagian Selatan tetapi perkara ini masih dalam 'kerangka'.
"Kita hendak kukuhkan Arahan MKN No.23 dahulu, bila kita dapati semuanya boleh dilaksanakan dengan baik dengan Arahan No.23 ini barulah kita susuli dengan penutupan pejabat UNHCR ini.
"Namun ia tidak boleh berlaku dalam tempoh terdekat selagi kita tidak dapat membentuk satu pengurusan yang baik melibatkan pelbagai agensi kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Literasi Dasar Keselamatan Negara 2021-2025: Wacana Pembentukan Minda Keselamatan Penjawat Awam Negeri Selangor 2022 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Sebagai rekod, UNHCR adalah agensi yang dimandatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antara lain untuk melindungi pelarian, membantu penghantaran pulang, integrasi tempatan atau penempatan semula pelarian di negara ketiga.
Sejarah UNHCR di Malaysia bermula dengan krisis susulan perang saudara di Vietnam apabila pada tahun 1975, Malaysia membenarkan UNHCR membuka pejabat dan menjadi agensi utama yang bertanggungjawab untuk menguruskan pelarian Vietnam dan penempatan mereka di negara ketiga.
Sejak itu dan selama kira-kira 46 tahun UNHCR beroperasi di Malaysia.
Dalam pada itu, Rodzi berkata, pemberian kad UNHCR kepada pelarian etnik Rohingya di negara ini tidak merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Jadi tentulah keputusan itu tidak adil untuk kita kerana kita yang seharusnya bagi input sama ada boleh menerima individu terbabit atau tidak berdasarkan rekod yang kita ada dan bukan pihak UNHCR.
"Jadi bila tiada rujukan daripada UNHCR kepada pihak berkuasa kita, tindakan ini seolah-olah mereka tidak menghormati negara kita, jadi kita harus bendung perkara ini dan kita sedang uruskannya," katanya.